fb fb fb fb fb

RM100,000 untuk FELDA, inisiatif tepat rancakkan pembangunan

Perdana Menteri merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi 2025 di MITEC/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.

Langkah tersebut memberi peluang kepada masyarakat FELDA memilih projek yang benar-benar diperlukan seperti pembelian peralatan pertanian, pembinaan kolam ikan, atau penggunaan teknologi moden seperti dron.

Pengumuman Perdana Menteri mendapat reaksi positif daripada warga FELDA yang menyifatkannya sebagai satu inisiatif tepat dalam merancakkan pembangunan di peringkat akar umbi.

“Untuk menaikkan sosioekonomi melalui semua benda seperti jentera, dron, seperti yang Perdana Menteri katakan tadi”,  kata Rushihan Amri Zakaria, warga FELDA Kemahang 3, Wilayah Gua Musang, Kelantan.

“Kita pun duduk FELDA Bukit Esther, sangat berbahagia, bergembira, ceria... semua ada. Hilang segala penat lelah selama kita buat kerja,” ujar Hamsah Ismail, dari FELDA Bukit Esther, Kota Tinggi, Johor Bahru.

Sementara itu, Datuk Samsudin Ahmad, Pengerusi FELDA Batu Lapan Berhad, Changlun Kedah berharap setiap perancangan mengadakan mesyuarat berbincang bagi memastikan peruntukan tersebut dapat dilaksanakan.

“Saya berharap semua perancangan FELDA diminta untuk mengadakan mesyuarat perbincangan bagi melaksanakan peruntukan yang telah pun disalurkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Itulah harapan saya, dan terima kasih sekali lagi kepada beliau atas pengumuman ini", ujarnya.

Dalam ucapan majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini, Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat martabat negara dan menunaikan amanah kepada rakyat termasuk warga FELDA selari dengan prinsip Kerajaan MADANI.

ROSLINA BINTI DIN