KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Seluruh ekosistem koperasi di bawah entiti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu menjalani penstrukturan semula bagi menjana kadar keuntungan yang lebih tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting demi memastikan warga peneroka menerima manfaat yang sewajarnya.
“Oleh kerana koperasi mempunyai pelaburan di pelbagai organisasi perniagaan, maka langkah telah dibuat untuk merealisasikan pegangan-pegangan itu agar dapat dijual atau ia memberi pulangan pelaburan kepada koperasi.
“Dividen tahun lepas sudah mula dibayar tetapi jumlahnya sedikit berbanding ketika mula-mula koperasi beri keuntungan yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Apresiasi Warga Peneroka FELDA bersempena Mega Karnival 3 Dimensi 2025 di Pusat Pameran dan Perdangangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan usaha pengurusan FELDA telah berjaya mengembalikan semula saham FGV Holdings Bhd (FGV) sebanyak lebih 92 peratus yang sebelum ini tersenarai dalam Bursa Malaysia.
“Atas pemegangan 5 peratus Kerajaan Negeri Pahang dan juga oleh Kerajaan Negeri Sabah, mereka adalah juga pemegang saham FGV ini.
“Ertinya FGV kini di bawah FELDA dan proses memuktamadkannya dibuat oleh Bursa Malaysia untuk FELDA memiliki FGV sepenuhnya bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri dan koperasi dan insya-Allah keuntungannya akan kembali kepada FELDA dan disalurkan kepada peneroka,” ujarnya lagi.
Selain keuntungan dalam koperasi, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid juga mahu hak dan kebajikan warga peneroka terus dibela termasuk isu hutang peneroka, kemudahan asas, pemilikan tanah serta memperluas TVET dan tahfiz di kawasan FELDA.
“Bagaimana dengan hutang peneroka yang belum diselesaikan? Hutang itu wajib diselesaikan. Bagaimana pemilikan tanah? Bagaimana GSA? Kita berhasrat dan meminta pengurusan FELDA lunaskan janji itu.
“Kita minta 5G juga meliputi kesemua 17 kawasan FELDA. Hasrat kerajaan juga, TVET mesti masuk kawasan FELDA dan memperbanyakkan lagi Maahad Tahfiz di kawasan FELDA,” katanya.
Menyentuh mengenai isu pemilikan tanah FELDA katanya, beberapa kerajaan negeri telah menyerahkan hak pemilikan rumah kediaman kepada warga peneroka menerusi Akta Penempatan Berkelompok (GSA).
“Manakala di negeri lain sedang diusahakan agar pemilikan tanah diberikan kepada peneroka seperti perjanjian awal,” ujar beliau lagi.