KOTA TINGGI, 2 Ogos - Malaysia sekali lagi menzahirkan kesediaan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), apabila panggilan rasmi kepada Kemboja dan Thailand, akan dibuat petang ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya di dua negara itu bagi memperincikan persiapan, sekaligus menyegerakan rundingan damai.
Susulan itu, satu taklimat rasmi akan diadakan secara dalam talian bagi menyelaraskan perjalanan mesyuarat berkenaan.
''Selepas bercakap dengan kedua-duanya, barulah kita ada 'zoom meeting' antara ketiga-tiga Menteri Pertahanan untuk menentukan perkara yang akan dibincangkan.
''Usaha itu bagi memastikan mesyuarat dapat berlangsung dengan baik.'' katanya.
Cadangan penganjuran GBC itu bagi menyeru rundingan damai berkaitan konflik sempadan dua negara terbabit.
Thailand mengusulkan Malaysia sebagai lokasi berkecuali, demi memastikan rundingan berlangsung secara adil dan telus.