fb fb fb fb fb

Tiada sokongan majoriti, ketua gabungan PH - PN dititah menghadap Agong

(Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli menyantuni pengamal media yang
berkampung di hadapan pintu 2 Istana Negara/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 22 November- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghadap pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, titah itu dikeluarkan berikutan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan bawah perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Kendatipun begitu, setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama menyatakan bahawa Istana Negara sudah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak susulan keputusan PRU15.

“Bersama dengan pemakluman tersebut ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada Istana Negara seperti mana yang telah diminta dengan kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada 20 November 2022.

Lanjutan daripada penerimaan pencalonan nama perdana menteri tersebut, proses pengesahan calon perdana menteri yang memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah dilaksanakan oleh KDYMM Seri Padukan baginda Yang di Pertuan Agong.

Proses itu bertujuan supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Media Baharu