TASEK GELUGOR, 14 November – Muhammad Asyraf Akhimullah Abdullah dan Nur Shahirah Fatini Mohd Shaharuddin dinobat sebagai Johan Qari dan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 pada majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) 1447H/2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen PERDA, di sini pada Khamis.
Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM12,000, sijil, hadiah iringan, dan piala pusingan
Bagi Muhammad Asyraf, seorang guru, penampilan sulungnya di pentas negeri membuahkan hasil selepas berbulan-bulan menjalani latihan intensif bersama guru bimbingan.
“Ini merupakan penampilan pertama saya di pentas negeri. Alhamdulillah, setelah berusaha dan berlatih dengan guru, saya dinobatkan sebagai Johan. Dalam dunia Tilawah, memang penting untuk berguru dan bermulazamah dengan guru,” katanya.
Sementara itu, Nur Shahirah Fatini, yang juga seorang guru,bersyukur dan tidak menyangka kerana mampu mengekalkan gelaran sebagai johan Qariah untuk kali kedua berturut-turut. Kemenangan itu sekaligus merupakan kemenangan kelimanya di peringkat negeri.
“Alhamdulilah, tahun lepas Johan, tahun ini pun Johan. Ini kali kelima di peringkat negeri dan ketiga di peringkat kebangsaan. Cabaran bagi seorang guru agak besar kerana persiapan di sekolah, tetapi Alhamdulillah Allah bagi rezeki,” kata beliau.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib, dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Long.
.