fb fb fb fb fb

Tempoh pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan, Maimunah sertai GLC nasional

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 November - Tempoh pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif dipendekkan kepada 14 November ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata keputusan itu bagi membolehkan Maimunah memulakan tugas di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nasional yang bakal menerajui pembangunan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur

Jelas beliau, tempoh pelantikan Maimunah dipendekkan selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menetapkan tempoh baharu iaitu dari 15 Ogos 2024 hingga 14 November 2025.

Tambah beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas Datuk Seri Dr. Maimunah dalam bidang perancangan bandar lestari, termasuk ketika menerajui UN-Habitat di peringkat antarabangsa.

Sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau berjaya memperkukuh tadbir urus berintegriti dan cekap, sekali gus melonjakkan prestasi kewangan apabila DBKL mencatat lebihan semasa RM27.6 juta pada 2024 berbanding defisit RM75.3 juta pada 2023 dan RM283 juta pada 2022.

"Kepimpinan beliau turut menyerlah di peringkat antarabangsa melalui pelbagai inisiatif bandar hijau serta penganjuran ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) dan ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

"Kerajaan merakamkan penghargaan atas jasa dan legasi beliau yang membawa DBKL ke tahap membanggakan, selain mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya atas pelantikan baharu yang sejajar dengan aspirasi MADANI Wilayah Persekutuan", menurut kenyataan itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD