KUALA LUMPUR, 14 November – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal memperkenalkan Rangka Kerja Kesiapsiagaan Inovasi (IRL) sebagai mekanisme penilaian geran baharu bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Menterinya, Chang Lih Kang, berkata IRL dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dan menawarkan rubrik komprehensif untuk menilai kesiapsiagaan inovasi merentasi 11 dimensi, termasuk kematangan teknologi, pemahaman pelanggan dan daya saing pasaran.
“IRL melangkaui konsep tradisional Tahap Kesiapsiagaan Teknologi (TRL) dengan menyediakan ukuran yang lebih holistik terhadap potensi dan impak sesuatu inovasi,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan IRL, termasuk penggunaannya oleh Malaysia Science Endowment (MSE), menjadi langkah penting ke arah memastikan pelaburan penyelidikan menghasilkan impak nyata terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, penciptaan produk, teknologi dan perkhidmatan bernilai tinggi akan memacu kemajuan sosioekonomi negara, mengukuhkan daya saing syarikat tempatan serta membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Chang berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Saintis Penyelidikan Terkemuka Malaysia (TRSM) 2024/2025 di Menara MATRADE, di sini hari ini.
Majlis berkenaan memberi penghormatan kepada 32 saintis terkemuka negara iaitu 25 diiktiraf bagi tahun 2024 dan tujuh bagi 2025 atas sumbangan mereka dalam memajukan bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
Tambahnya, rangka kerja IRL melengkapi Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) 2025-2030, yang turut dibangunkan oleh ASM.
Pelan itu menggariskan tiga tonggak utama, enam strategi dan 27 pelan tindakan untuk menangani cabaran struktur dalam ekosistem STIE nasional, termasuk pengukuhan kerjasama RDICE strategik antara penyelidikan dan permintaan pasaran.
Chang menegaskan komitmen kerajaan untuk membina ekosistem RDICE yang teguh dan inklusif di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (NSTIP) 2021-2030, dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Bagi menyokong aspirasi itu, MOSTI menyasarkan peningkatan bilangan penyelidik kepada 130 bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang 2025, berbanding 55 ketika ini dan 33 pada tahun 2020.