PETALING JAYA, 14 November - Memerangi HIV dan AIDS bukan sekadar soal dasar atau statistik sebaliknya ia menuntut empati, keterangkuman, dan komitmen semua pihak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bagi mencapai sasaran menamatkan AIDS menjelang 2030, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuh pendekatan berasaskan bukti dan memperkasa komuniti, agar tiada individu tertinggal dalam mendapatkan rawatan, pencegahan dan penjagaan HIV.
Menurut beliau, Malaysia kekal komited menyediakan perkhidmatan pencegahan, rawatan dan penjagaan HIV yang bebas stigma serta adil untuk semua, tanpa mengira latar belakang atau keadaan.
"Kita mesti terus menggantikan ketakutan dengan empati dan pertimbangan dengan pemahaman, kerana untuk menamatkan AIDS memerlukan bukan sahaja ubat tetapi juga harapan dan kemanusiaan.
"Tiada kementerian, tiada yayasan, dan tiada syarikat boleh melakukan ini sendiri. Kita memerlukan usaha semua pihak," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Red Ribbon Gala 2025 anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) pada Khamis.
Hadir sama ialah Penaung MAF, Datin Paduka Marina Mahathir dan Pengerusi MAF, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Dr Dzulkefly berkata, Malaysia telah mencapai kemajuan penting melalui program Pertukaran Jarum dan Jarum Suntikan (Needle Syringe Exchange Programme) serta Terapi Penyelenggaraan Metadon (Methadone Maintenance Therapy) yang berjaya menyelamatkan nyawa, mengurangkan jangkitan baharu dan membantu pemulihan penghidap HIV.
Tambah beliau, mulai 2025, kerajaan meningkatkan peruntukan tahunan kepada RM8 juta bagi Program Perkhidmatan HIV Berbeza untuk Populasi Utama (DHSKP), di samping RM80 juta setahun bagi mengekalkan rawatan dan sokongan HIV di seluruh negara.
Dalam pada itu, Red Ribbon Gala 2025 berjaya mengumpul RM2.2 juta hasil tajaan dan jualan meja untuk menyokong program rawatan, penjagaan serta pencegahan HIV berasaskan komuniti oleh MAF.