fb fb fb fb fb

Tiada rancangan rombak kabinet- Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Mei- Tiada perancangan untuk merombak kabinet sekiranya keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2025 peringkat pusat tidak memihak nama-nama besar yang berjawatan dalam kerajaan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertembungan dua kumpulan antara 'DAMAI' (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif) dan 'HIRUK' (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa), ketika ini sebagai persaingan antara sahabat karib yang setia.

"Ini pertandingan antara sahabat-sahabat karib, dan kawan-kawan yang setia. Tidak timbul sama sekali soal perubahan Jemaah Menteri. Kita tidak boleh menghalang orang yang bercita-cita. Sudah ada kosong (jawatan), sudah mau ganti, itu biasa.

"Kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa rombakan," jelas beliau selepas menghadiri Sesi Taklimat bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar menyeru agar ahli KEADILAN mengangkat calon-calon yang dapat memperkukuh parti serta merangkul semua kekuatan.

Sementara itu, disoal adakah persaingan sengit dua kumpulan tersebut memberi cerminan ketidakstabilan kerajaan, beliau menjelaskan perkara itu tidak berlaku sama sekali.

"Tidak. Pertandingan dalam jawatan mana tidak stabilnya. Disebabkan stabil lah boleh bertanding. Kalau tidak stabil, tak boleh bertanding, jadi diktator. Di semua peringkat. Kita lihat perkara ini secara positif, tidak fikir ia menjejaskan apa-apa," ujar beliau.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM