PUTRAJAYA, 5 Ogos - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam bencana banjir besar yang melanda Republik Demokratik Rakyat Lao (Lao PDR-Laos) susulan hujan lebat akibat Monsun Barat Daya dan Taufan Wipha, menurut Wisma Putra hari ini.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane sedang memantau rapi situasi semasa di negara itu dan bersedia memberi bantuan konsular sekiranya diperlukan.
"Namun begitu, semua rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan melalui Lao PDR dinasihatkan untuk berhati-hati, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, dan peka terhadap perkembangan cuaca serta nasihat rasmi perjalanan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
"Rakyat Malaysia yang berada di Lao PDR juga digalakkan untuk mendaftar dengan Kedutaan dan kekal berhubung rapat bagi mendapatkan bantuan dan maklumat yang terkini," menurut kenyataan itu hari ini.
Sebarang bantuan konsular boleh diperoleh dengan menghubungi Kedutaan melalui talian +856 21 414205 / +856 21 414201 atau nombor kecemasan +856 20 5553 1801, serta e-mel ke
Menurut Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre), banjir tersebut telah menjejaskan lebih 58,000 orang daripada 34,000 keluarga di 10 wilayah.
Setakat ini, sembilan kematian dilaporkan manakala empat individu masih hilang.
Kementerian menegaskan akan terus memantau perkembangan situasi ini bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Lao PDR.