fb fb fb fb fb

Tiada pesawat MAS digantung operasi akibat masalah teknikal

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 November - Tiada pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) yang digantung operasi akibat masalah teknikal ketika ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pesawat yang tidak beroperasi hanya dalam proses penyelenggaraan berkala yang dilaksanakan mengikut keperluan keselamatan serta piawaian industri penerbangan.

"Malaysia Aviation Group (MAG) juga merupakan sebuah entiti perniagaan yang beroperasi secara komersial dengan segala keputusan berkaitan operasi, termasuk aspek penyelenggaraan dan pembaikan pesawat adalah keputusan korporat, yang dibuat berdasarkan keperluan operasi syarikat.

"Kos pembaikan dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAG sebagai sebahagian daripada kos operasi. Pihak Kementerian Pengangkutan tidak menanggung sebarang kos berkaitan," kata beliau dalam persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Datuk Hasbi turut memaklumkan bilangan jurutera pesawat yang berkelayakan dan diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) setakat ini seramai 4,113 orang.

Kerajaan akan terus memantau perkembangan industri, memperkukuh kerjasama dengan institusi latihan dan sektor swasta, serta melaksanakan inisiatif strategi yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kecekapan operasi penerbangan negara sentiasa terjamin.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ