fb fb fb fb fb

Banjir di Selangor: Kerugian meningkat kepada RM22.6 juta tahun lalu

Jalan utama di Hulu Langat di Kampung Sungai Serai dinaiki air/Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 20 November – Selangor merekodkan kerugian sebanyak RM22.6 juta akibat banjir pada tahun lalu.

Exco Bencana Alam Selangor Najwan Halimi berkata angka itu meningkat berbanding RM13.9 juta pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata daripada jumlah itu, aset awam dan infrastruktur merupakan kategori paling terjejas dengan nilai kerugian RM13.8 juta, diikuti kediaman (RM6.6 juta), sektor pertanian (RM1.9 juta) dan kenderaan (RM300,000).

Najwan turut memaklumkan kerajaan negeri berada dalam keadaan siap siaga menghadapi cuaca tidak menentu susulan Monsun Timur Laut (MTL) termasuk meningkatkan keupayaan operasi bencana di semua peringkat.

“JKM Selangor telah mewartakan 1,152 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan memastikan garis panduan pengendalian mangsa, terutama yang mempunyai masalah kesihatan. Bekalan keperluan asas juga dipastikan dalam keadaan baik dan mencukupi,” katanya ketika menjawab soalan Rosnizan Ahmad (Morib) dan Pang Sock Tao (Kuala Kubu Bharu) pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurutnya, sekiranya banjir berlaku, agensi keselamatan akan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat serta memindahkan penduduk terjejas banjir ke PPS.

“Pengedaran keperluan asas seperti ‘cubicle tent’, selimut, tilam, bantal, makanan retort dan barangan asas lain akan disegerakan sejurus mangsa tiba bagi memastikan keselesaan mereka,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menugaskan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) bagi memastikan penyelarasan operasi bencana berjalan lancar sepanjang musim MTL.

GRACE AISYAH KEDAYAN