fb fb fb fb fb

Jalur Gemilang : 22 kes disiasat sepanjang 2022-2025

Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 20 November - Sebanyak 22 kes berkaitan pemasangan bendera Malaysia secara salah atau terbalik telah disiasat di seluruh negara, sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, memaklumkan bahawa tiada kertas siasatan dibuka pada 2022, manakala dua kertas siasatan dibuka pada 2023, tiga pada 2024 dan 17 pada 2025.

Kesalahan berkaitan penggunaan lambang negara, termasuk jalur gemilang, tertakluk kepada Akta Lambang dan Negara, Mencegah Penggunaan Tidak Wajar 1963 dan undang-undang lain yang berkaitan.

"Hukuman sedia ada dianggap memadai untuk memberi kesedaran dan pengajaran. Bagaimanapun kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan tidak menolak kemungkinan untuk meneliti keperluan semasa atau berkaitan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Shamsul Anuar menekankan bahawa kementerian sentiasa memantau perkembangan dan tidak menolak keperluan menambah baik atau memperketat peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan kedaulatan dan maruah lambang negara terpelihara.

"Tindakan diambil berdasarkan jenis kesalahan, sama ada di media sosial di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atau di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955, dengan hukuman maksimum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya," katanya lagi.

Selain penguatkuasaan, kementerian juga giat melaksanakan kempen pendidikan awam secara sistematik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan, termasuk program outreach di sekolah dan komuniti, bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan menjaga lambang negara.

Dr. Shamsul Anuar menegaskan bahawa lambang negara merupakan kebanggaan bersama dan menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memelihara dan bukannya dijadikan sebagai isu politik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI