fb fb fb fb fb

MTL: Op Murni diaktifkan, ATM gerakkan 4,428 anggota dan 7,880 aset

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 November - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan 4,428 anggota, disokong oleh 506 aset darat, 7,355 aset maritim dan 19 aset udara menerusi Operasi Murni (Op Murni) bagi mendepani Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengaktifan Op Murni merupakan sebahagian langkah proaktif ATM dalam membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sepanjang MTL.

"Misi Op Murni diketuai Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan manakala Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (OPLAT TD) berperanan sebagai penghubung dengan NADMA," jelas beliau kepada media selepas meninjau kesiapsiagaan 17 aset Op Murni dan mendengar taklimat operasi itu di Kem KEMENTAH di sini.

Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, fokus utama Op Murni meliputi empat fasa iaitu atur gerak awal, operasi menyelamat, operasi bantuan dan fasa pascabanjir.

Sejumlah 5,648 lokasi berisiko banjir dikenal pasti berdasarkan data terdahulu termasuk maklumat MetMalaysia serta laporan pegawai di lapangan.

"ATM telah mengatur gerak pasukan dan aset daripada peringkat awal bagi mengenal pasti kawasan berpotensi terjejas. Ini membolehkan setiap perancangan dan tindakan dapat dilaksana dengan jelas apabila bencana berlaku.

"Usaha ini mencerminkan komitmen ATM bukan sahaja sebagai benteng pertahanan negara tetapi juga sebagai organisasi yang mendukung keselamatan dan kesejahteraan rakyat pada setiap masa," katanya.

Sebanyak 15 Appointed Military Commander (AMC) turut diwujudkan di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi memastikan penyelarasan operasi lebih berkesan.

Beliau berkata NADMA juga telah membekalkan jambatan modular (Bailey) kepada ATM yang boleh digerakkan mengikut situasi serta keperluan.

MetMalaysia sebelum ini meramalkan hujan berterusan MTL dari November hingga Mac 2026, melibatkan kawasan tumpuan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN