fb fb fb fb fb

Pemaju di Hutan Simpan Gunung Bongsu diarah segerakan penanaman semula

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab ketika melakukan pemantauan di Hutan Simpan Gunung Bongsu/RTM

KULIM, 20 November - Pemaju projek ladang hutan di Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kulim diarah mempertingkatkan langkah kawalan bagi mengelakkan kejadian banjir lumpur yang boleh menjejaskan kualiti air sungai dan kediaman penduduk di kawasan sekitar.
 
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata antara yang dilakukan termasuk menyelesaikan proses penanaman di kawasan seluas 45 hektar dengan kadar segera.
 
"Manakala baki 5 hektar di kawasan itu hanya dibenarkan meneruskan pengeluaran kayu, selepas penanaman di kawasan yang telah dibuka selesai," kata beliau di sini.

Selain itu, pihak pemaju projek perlu menyelesaikan sepenuhnya proses penanaman semula di kawasan sedia ada sebelum memulakan kerja-kerja pengeluaran kayu di blok yang baru.
 
JAS Kedah dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan menjalankan pemeriksaan semula untuk verifikasi dan kerja-kerja di blok selanjutnya, yang hanya akan dibenarkan selepas hasil pemeriksaan memuaskan.
 
Beliau berkata penanaman tanaman tutup bumi dan penyediaan langkah-langkah kawalan ke atas kawasan yang masih terdedah juga perlu diselesaikan segera, selain menanam pokok hutan di kawasan tersebut.
 
"Jalan akses ke tapak projek perlu diletakkan ‘crusher run’ dan sentiasa dikawal selia dari semasa ke semasa bagi mengelakkan ia menjadi punca hakisan," kata beliau lagi.

Arahan itu dikeluarkan selepas JAS bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Kedah dan Cawangan Khas, PDRM Kedah menjalankan siasatan terperinci di kawasan berkenaan, pada Rabu.
 
Pemeriksaan yang dijalankan melibatkan kompartmen 15, 42 dan 43 yang masih mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) yang sah.
 
Berdasarkan siasatan didapati Kompartmen 15 dan 43 masih belum dibuka dan tiada sebarang aktiviti. 
 
Manakala di kompartmen 42, kerja-kerja dijalankan secara berfasa, dan hanya terdapat satu blok dibuka iaitu, melibatkan kawasan seluas 50 hektar.
 
Kontraktor yang dilantik pemaju juga telah membuat pembersihan bagi kawasan seluas 45 hektar dan telah mula menanam pokok hutan.
 
Projek ladang hutan seluas 500 hektar itu beroperasi berasaskan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang diberi pada 2021 dan masih sah melalui lanjutan kelulusan.
 
Pemeriksaan tersebut dilakukan susulan aduan berkaitan aktiviti pembalakan dan ladang hutan yang didakwa menyebabkan banjir lumpur dan merosakkan kualiti air di Taman Eko Rimba Ulu Paip serta kawasan sekitar.
 
Sharifah Zakiah memaklumkan siasatan mendapati keadaan air sungai sedikit keruh dan dipercayai akibat hujan lebat.
 
Namun tiada mendakan lumpur dilaporkan dan kawasan tersebut masih dilawati pengunjung.
 

SITI AISHA MELISA YUHANIZ