fb fb fb fb fb

Tiada perlindungan ke atas mana-mana individu terlibat rasuah - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KAHERAH, 12 November- Tiada perlindungan ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam kes rasuah termasuk individu yang menjadi pemberi maklumat bagi pembongkaran kes berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk skandal rasuah membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek. 

Dalam pada itu beliau juga menyifatkan tindakan berkenaan sebagai aneh.

"Jangan gunakan jawatan Perdana Menteri untuk dapatkan perlindungan kepada sesiapa kerana saya tidak akan buat begitu. Saya tak akan bagi jaminan, tindakan itu sesuatu yang aneh.

"Dasar Kerajaan MADANI adalah jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang tidak terbabit langsung dalam kes rasuah.

"Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah, ia perlu diteliti dan disiasat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita di sini selepas menamatkan lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir. 

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat bagi kes klip video beberapa ADUN membincangkan rasuah, sudah berjumpa pegawainya pada 30 Oktober lalu.

Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.

Mengulas perkara itu, beliau memaklumkan tidak menerima sebarang surat meminta perlindungan daripadanya kerana masih berada di Mesir dalam lawatan rasmi empat hari yang berakhir hari ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI