fb fb fb fb fb

"Penjawat awam perlu berintegriti, bertanggungjawab dalam laksana tugas" - Agong

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kiri) dan Peguam Negara baharu, Datuk Dusuki Mokhtar (kanan), hari ini diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

SEPANG, 12 November- Seluruh penjawat awam perlu bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan setiap amanah yang diberikan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, itu titah yang disampaikan kepada beliau ketika diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Negara, hari ini.

Jelasnya, melalui titah tersebut, baginda menyeru penjawat awam untuk bukan sahaja teliti dalam gerak kerja yang diberikan tetapi juga perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam perkhidmatan awam.

"Saya ingin berkongsi titah oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku pagi tadi ketika saya menghadap di Istana Negara.

Tuanku bertitah kepada saya agar pegawai kerajaan buatlah kerja ikut peraturan, ikut peraturan dan jangan langgar peraturan. Pegawai kerajaan akan tetap berada dalam perkhidmatan, ahli politik akan datang dan pergi, malah Agong juga bersilih ganti. Jadi, laksanakan kerja dengan penuh integriti dan patuhi peraturan," kata Tan Sri Shamsul Azri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2024 di Sepang, Selangor yang membawa tema ‘Pembangunan MADANI, Rakyat Disantuni’.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM