SUNGAI BULOH, 12 November- Pemain industri pertahanan negara digesa menyediakan peluang kerjaya kedua kepada bakal pesara veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Peluang itu diberikan khusus kepada mereka yang mempunyai obligasi kontrak dengan kerajaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pendekatan sebegini bukan hanya memberikan nilai tambah kepada ekosistem industri pertahanan, bahkan membantu melestarikan sosioekonomi mereka.
"Masih ada ruang pengukuhan dan pemantapan yang perlu sama-sama kita usahakan, PERHEBAT perlu terus proaktif memetarai kerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat swasta.
Pendekatan baharu yang boleh memberikan manfaat kepada veteran ATM dalam meneroka peluang kerjaya kedua," kata Adly kepada pemberita sempena Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia & Sijil PERHEBAT.
Tambah beliau, kementeriannya dan ATM turut bekolaborasi bersama agensi awam dan swasta dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi pemerkasaan sosioekonomi veteran melalui Perbadanan Hal Ehwal bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).