fb fb fb fb fb

Anwar desak UNGA, UNCS laksana semua resolusi ke atas Israel

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KAHERAH, 12 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak pelaksanaan semua resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) dan Majlis Keselamatan Bangsa Bersatu (UNCS) dilakukan terhadap Israel. 

Beliau dalam sidang media berkata, dengan menghentikan keganasan dan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza akan membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke atas kawasan diancam rejim Zionis Israel itu.

Pada masa sama beliau turut menggerakkan sokongan antarabangsa untuk membekukan atau menggantung keahlian dan penyertaan Israel dalam Perhimpunan Bangsa Bersatu (PBB) dan semua entiti gabungannya. 

"Banyak usul yang disepakati, hal yang agak ketat dan keras itu dimasukkan cuma istilah penyingkiran itu, elak kerana mereka rasa perlu diberikan ruang untuk berunding. Paling utama bukan penyingkiran tetapi menghentikan serangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengakhiri lawatan kerja rasmi ke Mesir, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua negara untuk mengharamkan eksport atau penyaluran senjata ke Israel berikutan tindakan kejamnya untuk menguasai wilayah Palestin.

Selain itu tindakan boikot terhadap produk keluaran rejim Zionis berkenaan juga dilihat akan melemahkan Israel.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI