PENAMPANG, 20 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan tiada sebarang pencatutan harga dikesan terhadap barangan di bawah program MySARA.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata hasil tinjauan mendapati harga barangan terkawal, malah terdapat barangan promosi ditawarkan kepada pengguna.
“Cuma kadangkala timbul sedikit kekeliruan apabila pengguna membeli dengan harga promosi pada satu hari, tetapi keesokannya harga promosi itu telah tamat. Mereka menyangka harga telah dinaikkan, sedangkan ia hanyalah tamat tempoh promosi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Kepenggunaan KPDN di Penampang, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 31 Ogos hingga 19 September lalu, KPDN menerima sebanyak 22 aduan di seluruh negara berhubung dakwaan kenaikan harga barangan di bawah program tersebut.
Dalam pada itu, Fuziah memaklumkan Jualan Rahmah kini menyediakan terminal MySARA bagi membolehkan pengguna menebus bantuan sambil menikmati diskaun berganda.