fb fb fb fb fb

Selangor perkukuh seni, budaya tempatan dalam belanjawan negeri 2026

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

GOMBAK, 20 September- Selangor akan terus memperkukuh usaha memartabatkan seni dan budaya tempatan dalam belanjawan tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program turun padang akan diperluas bagi memberi ruang kepada masyarakat setempat menampilkan produk serta hasil seni mereka, sekali gus menjadi aset penting dalam memperkukuh identiti negeri.

Katanya, walaupun Selangor terus mencatat pencapaian cemerlang dalam aspek ekonomi, pelaburan dan pendidikan, pemeliharaan budaya dan kesejahteraan masyarakat tidak akan dipinggirkan.

"Walaupun kita dilihat maju, moden dan bergerak pantas seiring perkembangan semasa, Inshaa-Allah jati diri serta makna sebenar kita tetap berpaksikan kepada rakyat dan warga keseluruhannya. Inshaa-Allah, belanjawan tahun depan, kita akan terus mempergiat usaha turun padang. Kali ini bukan hanya untuk mempromosikan satu jenis budaya, tetapi memberi ruang kepada masyarakat tempatan sendiri memperkenalkan produk dan hasil karya mereka.

Inilah kekuatan kita. Kerajaan bukan sekadar mahu melihat persembahan, sebaliknya bertekad mempertahankan serta mengembangkan keunikan ini agar masyarakat kita terus hidup berbudaya, walaupun sedang mencatat kemajuan dan kemodenan yang memberangsangkan," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Temasya Seni Budaya Dan Warisan Selangor @ Gombak 2025 di Padang Awam Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves.

Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak terpesona dengan arus budaya luar yang boleh menghakis jati diri tempatan.

Program kebudayaan melibatkan muzik tradisional, tarian, pakaian dan makanan etnik bukan sekadar hiburan, tetapi manifestasi peradaban dan nilai masyarakat yang hidup harmoni.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM