fb fb fb fb fb

MERCY Malaysia hantar dua pasukan rawatan ke Gaza

MERCY Malaysia bakal menghantar Pasukan Khas Rawatan Keenam dan Ketujuh ke Gaza selewat-lewatnya hujung tahun ini / Foto Hiasan

IPOH, 20 September – MERCY Malaysia bakal menghantar Pasukan Khas Rawatan Keenam dan Ketujuh ke Gaza selewat-lewatnya hujung tahun ini selepas semua persiapan keselamatan serta logistik dipenuhi.

Presidennya, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata kedua-dua pasukan berkenaan sudah bersedia namun belum digerakkan berikutan kekangan teknikal dan isu keselamatan yang belum diselesaikan.

Beliau menjelaskan, operasi MERCY Malaysia di Gaza ketika ini masih diteruskan oleh pasukan tempatan Palestin yang menyalurkan bantuan kemanusiaan secara berterusan di kawasan terjejas.

2009 PRK MERCY GAZAPresiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus / Foto Bernama

“Biasanya pasukan kita kecil sahaja, terdiri daripada pakar dalam bidang tertentu. Jika gencatan senjata dimansuhkan, kita boleh menghantar lebih ramai anggota, sekitar enam hingga lapan orang. Namun, sekiranya keadaan masih tidak stabil, bilangan anggota akan dihadkan kepada empat atau lima orang atas faktor keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan peralatan perubatan bernilai RM340,000 kepada Unit Neurosurgeri (NCCU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Majlis itu merupakan sebahagian usaha memperkasa sistem kesihatan negeri melalui sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
 
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata MERCY Malaysia turut bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan NGO antarabangsa lain yang mempunyai laluan sah bagi menghantar bantuan ke wilayah bergolak berkenaan.

Selain misi perubatan, MERCY juga menggerakkan program pertanian kecil-kecilan bagi membantu penduduk Gaza menghasilkan makanan asas daripada sumber tempatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN