KEMAMAN, 20 September- Satu kejadian kebocoran paip gas dilaporkan berlaku berdekatan sebuah kawasan pembinaan di Kerteh, Kemaman, Terengganu, hari ini.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku sejauh kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak membabitkan kawasan penempatan atau kediaman penduduk.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, SAC Suffian Sulaiman berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 9.35 pagi tadi.
Menurut SAC Suffian, kebocoran berkenaan membabitkan paip gas jenis ‘Butane’ dalam bentuk gas yang dikenal pasti sebagai bahan mudah terbakar.
Sehubungan itu, Petronas telah pun mengambil langkah dan tindakan segera dengan menutup dua injap paip gas berkenaan sepanjang 10 kilometer dari Kampung Semayor ke Kampung Chabang.
Tindakan sementara itu bagi memudahkan urusan kerja-kerja penyelenggaraan oleh Petronas.
"Saya telah meninjau sendiri lokasi kejadian tadi. Jarak antara tempat kejadian dengan perkampungan atau kawasan perumahan di sekitar sini adalah lebih kurang 2.5 kilometer.
Pada pandangan kita, kawasan ini selamat dan masyarakat setempat tidak perlu gusar atau bimbang kerana ia masih berada dalam keadaan terkawal dan selamat," kata SAC Suffian kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat dan melakukan tinjuan di lokasi kejadian, petang tadi.
Tambah beliau, kerja-kerja pengosongan gas pada paip sepanjang 10 kilometer itu dijangka akan mengambil masa selama dua hari.
Penduduk berhampiran turut diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Selain itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menghampiri kawasan berkenaan dan mematuhi arahan keselamatan dikeluarkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.