fb fb fb fb fb

Hospital Taiping bakal jadi pusat kedua neurosurgeri di Perak

Hospital Taiping dirancang menjadi pusat kedua perkhidmatan neurosurgeri di Perak selepas Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh / Foto Hiasan

IPOH, 20 September – Hospital Taiping dirancang menjadi pusat kedua perkhidmatan neurosurgeri di Perak selepas Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata pada masa ini HRPB menjadi satu-satunya hospital yang menyediakan perkhidmatan neurosurgeri dengan lima pakar bedah bertugas, selain berfungsi sebagai pusat latihan pakar.

Menurutnya, HRPB kini menerima pesakit dari seluruh Perak termasuk Cameron Highlands dan kawasan utara Selangor.

2009 PRK PUSAT NEUROSURGERI 2Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha / Foto Bernama 

“Perak ini negeri yang luas, dan dalam masa sama kita sedang merancang untuk meningkatkan perkhidmatan ke Hospital Taiping. Dengan itu, akan ada dua hospital kerajaan yang dapat menyediakan perkhidmatan neurosurgeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan perubatan bernilai RM340,000 oleh MERCY Malaysia kepada Unit Neurosurgeri HRPB, di sini, yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Majlis itu sebahagian daripada usaha memperkasa sistem kesihatan negeri melalui sokongan NGO tempatan.
 
Dr. Feisul turut memaklumkan HRPB merekodkan jumlah pesakit neurosurgeri antara tertinggi di Malaysia dengan sebanyak 1,025 kes direkodkan dari April hingga Ogos tahun ini.

Beliau berharap sokongan berterusan daripada MERCY Malaysia dapat memperkukuh rawatan pesakit strok dan kes neurosurgeri kritikal di Perak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN