PUTRAJAYA, 4 November - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Program Empowering Patients Living with Diabetes (Program ERAT)
bagi memperkasakan pesakit diabetes melalui pendekatan baharu berasaskan pendidikan dan pengurusan kendiri.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, program itu bertujuan meningkatkan tahap penjagaan pesakit dan keberkesanan rawatan pesakit diabetes di seluruh negara.
“Mereka yang tidak dapat mengawal tahap gula dengan baik akan disertakan dalam program ini, dan dengan pendekatan serta metodologi yang disusun, mereka akan mempunyai peluang lebih baik untuk mencapai kawalan penyakit yang lebih berkesan.” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program ERAT bersempena Hari Diabetes Sedunia 2025 di sini, hari ini.
Program hasil kerjasama strategik antara KKM, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Novo Nordisk ini memberi tumpuan kepada pesakit yang masih gagal mencapai kawalan penyakit secara optimum.
“Daripada lebih sejuta pesakit aktif di seluruh negara, hanya 36.7 peratus berjaya mengawal diabetes mereka. Hampir 60 peratus masih gagal mengawal penyakit ini, dan kumpulan inilah yang akan menjadi fokus utama Program ERAT," jelasnya.
Melalui program ini, pesakit akan menerima pemantauan rapi daripada pasukan profesional kesihatan termasuk doktor, jururawat dan ahli farmasi di bawah Diabetes Medication Therapy Adherence Clinic (DMTAC) .
Ia turut menekankan aspek pendidikan kesihatan dan pengurusan kendiri bagi memperkasakan pesakit membuat keputusan kesihatan yang lebih bijak.
“Ini akan menjadi perjuangan hidup saya bagi memastikan diabetes, hipertensi, obesiti dan kolesterol tinggi dapat dikawal sepenuhnya,”
Program ERAT dijangka diperluas ke seluruh negara secara berfasa sejajar dengan usaha kerajaan mewujudkan masyarakat sihat dan bebas komplikasi akibat diabetes.