fb fb fb fb fb

KKM pantau perkembangan varian baharu COVID-19

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 September- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa pemantauan rapi terus dilaksanakan terhadap perkembangan varian baharu COVID-19, termasuk sub-varian Omicron XFG walaupun negara kini berada di fasa endemik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad berkata tahap penularan sub-varian berkenaan dikesan lebih tinggi berbanding strain sebelum ini.

Bagaimanapun, dari segi keganasan atau virulens, ia tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang membimbangkan.

Setakat ini, hanya satu kematian dilaporkan berkaitan varian berkenaan manakala kebanyakan kes tidak mencetuskan simptom serius.

"Varian X ini masih lagi dalam pemantauan. Walaupun COVID-19 kini berada pada peringkat endemik, kita tetap memantau kerana kadang-kadang masih berlaku beberapa penularan di negara atau benua lain.

"Saya juga maklum ada sedikit kebimbangan berhubung satu sub-varian daripada Omicron, iaitu XFG," kata Datuk Seri Dr. Dzulkefly dalam sidang media selepas majlis sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan 2025 di pusat membeli belah AEON AU2, Setiawangsa, di sini.

Beliau menegaskan kementerian melalui CPRC dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa bersiap siaga melaksanakan ujian penjujukan genom terhadap kes positif bagi mengenal pasti sub-varian yang wujud.

Orang ramai juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala, di samping terus mengamalkan langkah pencegahan asas bagi mengelakkan penularan jangkitan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM