fb fb fb fb fb

Banjir Sabah: Sembilan fasiliti kesihatan terjejas, lapan sudah beroperasi semula

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 September – Sebanyak sembilan fasiliti kesihatan di Sabah terjejas akibat banjir baru-baru ini, dengan lapan daripadanya telah kembali beroperasi sepenuhnya pada 19 September.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hanya satu fasiliti masih dalam proses pembersihan iaitu Klinik Desa Gadong, Papar.

“Daripada sembilan fasiliti yang terjejas, lapan telah kembali beroperasi. Antaranya Klinik Desa Gadung, Klinik Desa Padas Lamit, Klinik Desa Bangkalalak dan Klinik Desa Lingkungan di Beaufort. Selain itu, Klinik Kesihatan Membakut, Klinik Desa Sinoko, Klinik Desa Pantai serta Klinik Kesihatan Mendulong di Sipitang turut beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Kebangsaan di ibu negara.

Sementara itu, bencana tanah runtuh turut dilaporkan di tiga daerah iaitu Penampang, Kota Kinabalu dan Papar.

Di Penampang, sebanyak 14 lokaliti terjejas sejak 11 September, termasuk satu kejadian di Kampung Sarapung yang mengorbankan seorang mangsa. Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan di lokaliti lain.

Kerajaan Persekutuan melalui KKM bersama agensi berkaitan memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan serta memastikan perkhidmatan kesihatan di kawasan terjejas dipulihkan segera demi kepentingan rakyat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN