KUALA LUMPUR, 20 September - Kementerian Digital akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkukuh kerjasama dalam menonjolkan kekuatan akademia Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) di pentas dunia.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, Malaysia mempunyai bakat tempatan luar biasa dalam pendidikan mengenai AI dan Kementerian Digital bercadang untuk menganjurkan program bagi mempamerkan keupayaan Malaysia dalam bidang berkenaan bersama dengan rakan global.
"Sudah tiba masanya untuk kita bincang bersama-sama KPM and KPT berkaitan dengan kemungkinan kita buat satu acara bersama dengan kerjasama rakan global untuk menonjolkan kekuatan Malaysia dari sudut akademia dalam bidang AI di pentas dunia.
"Kita boleh menonjolkan bahawa Malaysia bukan sahaja mempunyai infrastruktur, tetapi juga ada keupayaan dari sudut pendidikan dan kekuatan pelajar untuk menonjolkan Malaysia sebagai hab pendidikan AI," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Great Malaysia AI Hackathon 2025 yang berjaya memasuki ASEAN Records bagi kategori Largest On-Site AI Hackathon anjuran Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Amazon Web Services (AWS) di ibu negara hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif APU Datuk Parmjit Singh, Naib Presiden Penerimagunaan Digital MDEC Wan Murdani Wan Mohamad dan penceramah jemputan.