fb fb fb fb fb

Sultan Pahang zahir kebimbangan gejala dadah di FELDA

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah/ BERNAMA

MARAN, 20 September - Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan gejala dadah di kawasan FELDA di Pahang khususnya dalam kalangan generasi muda.

Baginda bertitah supaya pihak pengurusan atasan FELDA segera turun padang bagi melihat sendiri permasalahan dadah di tanah rancangan serta mencari penyelesaian yang berkesan.

Baginda bertitah agar pengurusan di FELDA perlu bertanggungjawab menangani masalah dadah agar tidak berleluasa.

"Saya rasa tidak salah jika saya menegaskan bahawa sebahagian pemimpin atasan hari ini terlalu sibuk mengejar keuntungan dan bermain politik, sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap masyarakat.

"Tunaikan tanggungjawab kerana masalah dadah sudah berleluasa dari kalangan anak muda di rancangan FELDA. Kehadiran saya hari ini harap menjadi satu noktah pada masalah dadah dan adakan satu program kesedaran baik. Saya punya arahan kepada pihak pentadbiran FELDA masalah dadah ini dapat dibendung dengan serius", titah Baginda.

Titah baginda, menerusi laman MY-AADK merekodkan seramai 4,204 penagih di Pahang dengan 1,317 orang atau 31.32 peratus daripadanya berasal dari FELDA sehingga Julai lalu.

Baginda bertitah demikian pada Program Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal sempena Sambutan Peringataan Hari Antidadah Peringkat Negeri Pahang di Balai Balora Mastika, Bandar Tun Razak di Jengka.

Dalam program sama, Baginda turut meluncurkan Buku Antologi Hitam dan Putih Pejuang Kepulihan: Luka Yang Mengajar Aku Terbang.

Buku itu menghimpunkan 20 kisah bekas klien yang pernah mendapat perkhidmatan rawatan dan pemulihan di AADK Negeri Pahang yang bersikap terbuka dan berani berkongsi pengalalaman mereka.

ROSLINA BINTI DIN