MASJID TANAH, 13 September - Kerajaan Negeri Melaka melarang sebarang pembinaan struktur kekal dan aktiviti pelancongan di kawasan tambakan tanah di sepanjang Muara Sungai Air Hitam hingga ke Muara Sungai Tuang, Tanjung Bidara.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek hakisan pantai bernilai RM21.56 juta itu akan menambak tanah sepanjang 50 meter (m) dari kawasan asal terjejas yang dijangka selesai pada September 2026.
"Tanah tambakan laut ini merupakan tanah tambahan yang dibangun oleh kerajaan negeri yang telah pun ditambak dengan projek oleh JPS yang bernilai RM21 juta ini tidak dibenarkan sama sekali untuk dijalankan aktiviti-aktiviti struktur pelancongan.
"Kerana struktur tanah ini masih lagi belum dikenal pasti kekuatannya dan teknologinya sama ada bertahan ataupun tidak, jadi saya bagi pihak kerajaan negeri mewakili pejabat tanah dan galian mengumumkan bahawa kawasan ini tidak dibenarkan diwujudkan mana-mana pembangunan sama ada kekal atau pun sementara", katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan rizab Pantai Tanjung Bidara di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Datuk Noraini Tawel dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Mohd Adnan Ahmad Fauzi.
Tambah beliau, kawasan tambakan baharu yang merupakan sebahagian projek pengawalan hakisan pantai seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri itu akan menjadi tanah milik kerajaan negeri.