IPOH, 13 September - Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus mendengar serta mengambil kira pandangan rakyat dalam pelaksanaan dasar pembangunan dan program kebajikan agar manfaatnya dapat disalurkan secara menyeluruh.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kerajaan sebelum ini menerima cadangan mengenai barangan yang dikecualikan daripada senarai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum melakukan semakan serta penambahbaikan.
"Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang mendengar, sepertimana kita dengar cadangan dan saranan rakyat berkenaan barang-barang yang dikecualikan daripada senarai SST tempoh hari, yang mana kemudian kerajaan buat sedikit penambahbaikan dan semakan semula," katanya kepada pemberita di sini.
Mengulas cadangan peluasan bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melibatkan lebih banyak kedai dan barangan, beliau menjelaskan perkara itu akan diperhalusi oleh Kementerian Kewangan sebelum diumumkan.
Kerajaan komited memastikan setiap penambahbaikan dasar dan program kebajikan memberi manfaat terus kepada rakyat, selaras aspirasi membina negara MADANI yang inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.