fb fb fb fb fb

PM kutuk serangan Israel ke atas enam negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 13 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan biadab rejim Zionis yang semakin bermaharajalela melakukan serangan ke atas enam negara.

Beliau menyifatkan serangan itu jelas menunjukkan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan rejim berkenaan yang disokong secara terbuka kuasa besar dunia.

"Saya sebenarnya menerima undangan segera ke Doha, Qatar, esok bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza serta mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel yang semakin bermaharajalela di era ini.

"Namun, saya terpaksa batalkan undangan tersebut kerana acara yang dijadualkan di tanah air," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di Iskandar Puteri di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri berkata Malaysia akan menegaskan dukungan kepada perjuangan rakyat Palestin serta mengutuk keganasan dan kebiadaban Zionis yang tidak berperikemanusiaan pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang akan diadakan di Doha, Qatar pada Isnin ini (15 September).

Media antarabangsa melaporkan Israel melancarkan serangan ke atas enam negara dalam tempoh hanya tiga hari termasuk Qatar, Palestin, Lubnan, Syria, Tunisia dan Yaman.

Ini termasuk serangan dron terhadap sebuah kapal utama Global Sumud Flotila (GSF) di Tunisia serta serangan udara ke atas Doha di Qatar, kononnya menyasarkan kepimpinan politik Hamas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI