TAIPING, 13 September - Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap sebarang kejadian buli di sekolah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM mempunyai garis panduan ketat menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas berkaitan prosedur yang telah ditetapkan bagi menangani kes-kes buli di sekolah.
"Biarlah kita melaksanakan tugas ini bersama-sama. KPM ada peranan kita, di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pihak sekolah ada peranan, ibu bapa ada peranan dan masyarakat ada peranan.
"Bagi saya ini merupakan satu kita perlu mengambil satu pendekatan menyeluruh masyarakat untuk kita mengajak semua, meningkatkan kesedaran di semua pihak. Kita pastikan bahawa apabila ada aduan sahaja, tidak ada cubaan menutup aduan dan pada masa sama kesemua garis panduan dipatuhi", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Daerah Larut, Matang dan Selama Tahun 2025, di Taiping.
Pada program tersebut hampir 5,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan berkenaan yang diadakan di Dataran Warisan Taiping.