JOHOR BAHRU, 13 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa rusuhan yang berlaku di negara luar wajar dijadikan pengajaran penting kepada Malaysia untuk terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, perpaduan adalah tonggak utama yang menjamin keamanan sesebuah negara dan di Malaysia, keamanan itu perlu dimanfaatkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh kerangka negara MADANI.
"Kita bersyukur kerana Malaysia dan beberapa negara lain kekal aman. Keamanan ini kita gunakan untuk memacu ekonomi dan kerangka MADANI, sekali gus memberi makna daripada sudut kemampanan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di sini, hari ini.
Program yang berlangsung sejak 8 September lalu itu menghimpunkan 2,400 peserta daripada 20 agensi agama seluruh negara.
Dalam pada itu Perdana Menteri menyarankan agensi agama menjadi pencetus dan penggerak utama ke arah pembangunan negara lebih menyeluruh dan berdaya saing.
Transformasi perlu dilaksanakan termasuk ke arah pendigitalan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), selain berpaksikan pandangan Islam sebagai teras.
"Mana-mana jabatan atau agensi Islam harus muncul sebagai yang terbaik dari segi pengurusan, paling moden, paling canggih, termasuk penggunaan teknologi baharu. Jabatan Islam mesti dijadikan contoh dalam pentadbiran negara," katanya.
Perdana Menteri menegaskan usaha pembangunan tidak boleh dipandang ringan kerana kegagalan melaksanakannya berisiko menyebabkan negara ketinggalan dan bergantung kepada pihak lain.
Perubahan itu perlu berlandaskan nilai inklusif merangkumi aspek pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat, sekali gus menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan Malaysia MADANI.