fb fb fb fb fb

Kerajaan belum rancang untuk wujudkan premis Jualan Rahmah secara kekal

Foto hiasan

KUANTAN, 13 September - Kerajaan belum merancang untuk mewujudkan premis Jualan Rahmah secara kekal memandangkan ia bergantung kepada sokongan subsidi daripada kerajaan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, penelitian perlu dilakukan susulan model-model terdahulu tidak menunjukkan keberhasilan yang baik.

"Kita melihat model yang sesuai untuk dilakukan. Program seperti ini berpandukan kepada subsidi daripada kerajaan, jadi agak susah kalau setiap hari ada subsidi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Mega Hari Malaysia peringkat negeri Pahang di Pantai Sepat, di sini.

Sebanyak 15,308 Jualan Rahmah telah diadakan di seluruh negara, dengan 9,600 daripadanya merupakan jualan rahmah bergerak.

Kerajaan juga telah menambahkan peruntukan dengan setiap 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berpeluang melaksanakan jualan rahmah bergerak sebanyak tiga kali sebulan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI