fb fb fb fb fb

Tiada pembelian panik telur ayam di Terengganu, bekalan mencukupi

Foto/BERNAMA

HULU TERENGGANU, 1 Mei - Tiada pembelian panik telur ayam dilaporkan di Terengganu susulan penamatan subsidi telur ayam berfasa.

Ini berikutan bekalan yang masih mencukupi di negeri itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, bekalan keperluan lain juga berada pada tahap mencukupi.

"Setakat ini keadaan masih terkawal, tiada pembelian panik kerana penarikan subsidi dibuat secara berkala. Sekarang subsidi dikurangkan 50 peratus, jadi tiada isu pembelian panik," katanya.

Terdahulu beliau meninjau program Jualan Rahmah luar premis terbuka sempena Hari Pekerja di Dataran Kuala Berang, hulu Terengganu.

Menurutnya, Terengganu mencatatkan nilai jualan Rahmah Madani sebanyak RM13 juta sejak awal tahun ini, memberi manfaat kepada hampir 315,000 pengunjung.

Program itu merangkumi 314 siri jualan di setiap parlimen dengan pelbagai model pelaksanaan.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD