KUALA LUMPUR, 1 Mei - Kadar pengangguran pada Februari tahun 2025 berkurang kepada 3.1% iaitu kadar terendah dalam tempoh sedekad.
Itu antara 10 kejayaan berkaitan pekerja Malaysia yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025.
"Paling mustahak, buat pertama kali dalam sejarah negara, gaji penengah bulanan rakyat Malaysia telah melepasi nilai ambang RM3,000.00. Ia meningkat daripada sekitar RM2,700.00 kepada RM3,045.00," katanya.
Usaha dilaksanakan pelbagai kementerian berjaya memperoleh hasil memberangsangkan
Jumlah orang bekerja pula meningkat daripada 16.91 juta pada hujung tahun 2023 kepada 17.34 juta pada akhir tahun lepas.
Sementara kadar penyertaan tenaga buruh bertambah kepada 70.6%, manakala kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.8%.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran menurun kepada 36% berbanding 37.4% pada 2023.
Bagi kebolehpasaran graduan TVET, kadarnya meningkat kepada 94%.
10 Kejayaan berkaitan pekerja Malaysia diumumkan Menteri Sumber Manusia
Steven turut memaklumkan, pencarum PERKESO meningkat kepada 9.9 juta orang di sektor formal.
Pencarum PERKESO membabitkan individu yang bekerja sendiri meningkat kepada 900,000 orang berbanding 700,000 orang pada 2023.
Manakala pencarum untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah bertambah kepada lebih 500,000 orang berbanding hanya 200,000 orang pada 2023.