JOHOR BAHRU, 1 Mei - Persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran membentuk satu gabungan tunggal pada masa hadapan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan ahli dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah ini juga bertujuan menyusun semula gerak kerja persatuan agar lebih teratur dan mampu memenuhi kehendak serta kepentingan setiap ahli.
“Setiap persatuan mempunyai pandangan masing-masing. Jadi cadangan ini bukan bertujuan untuk menyekat kewujudan mana-mana persatuan atau menyebabkan persatuan itu tidak dihormati.
Sebaliknya, langkah ini diusahakan supaya semua persatuan dapat bergerak secara lebih berkesan dan memperjuangkan isu-isu dengan lebih tersusun,” katanya.
Ketika ini, terdapat 122 persatuan veteran yang berdaftar di bawah Jabatan Veteran.
Beliau juga tidak menghalang penubuhan persatuan veteran baharu, namun perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
Datuk Seri Mohamed Khaled ditemui selepas Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia kali ke-56 di Tiram, Johor Bahru, Johor.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM40,000 bagi kerja-kerja mengecat dan naik taraf Pejabat PVATM di Johor Bahru.