KUALA LUMPUR , 5 Julai - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM225 juta bagi melaksanakan 9 projek perniagaan berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat besar kepada warga koperasi dan rakyat secara keseluruhan.
Perkara tersebut diumumkan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah selepas Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA ke-39 (MAPA 39).
Menurut beliau, koperasi bukan sahaja terus kekal relevan, malah menjadi pemain utama dalam sektor ekonomi yang kritikal seperti pemilikan institusi bank digital koperasi, inisiatif keterjaminan makanan, pembangunan perumahan mampu milik koperasi, serta pembangunan produk tenusu.
"Alhamdulillah hasil dari persidangan ini, perkara yang telah diluluskan iaitu kelulusan bajet untuk program aktiviti ANGKASA untuk tahun 2026 sebanyak RM225 juta dengan 9 buah projek perniagaan yang berimpak tinggi iaitu projek digital bank, projek keterjaminan makanan, projek co-op umrah, projek pelancongan kemudian ialah rumah mampu milik iaitu MyAngkasaVilla untuk Felda, Felcra dan luar bandar serta projek tenusu dan juga projek peruncitan iaitu AngkasaMart yang akan memberikan manfaat kepada bukan sahaja ANGKASA tetapi juga penglibatan koperasi-koperasi ahli ANGKASA berjumlah lebih 11,500 buah di seluruh negara yang ada sekarang,"kata beliau ketika ditemui media selepas Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA ke-39 (MAPA 39) di sini, hari ini.
Pada mesyuarat tersebut, dua jawatan utama turut dipertandingkan iaitu Presiden ANGKASA dan Timbalan Presiden ANGKASA.
Abdul Fattah berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden ANGKASA setelah meraih sokongan majoriti perwakilan, manakala Prof Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik telah dipilih sebagai Timbalan Presiden ANGKASA bagi penggal 2025-2028.
Mesyuarat tahunan tersebut menghimpunkan 4,898 perwakilan koperasi dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai resolusi penting, hala tuju gerakan koperasi nasional serta pelan tindakan strategik bagi memperkukuhkan kedudukan koperasi Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.