
KOTA KINABALU, 11 April – Sebanyak 71.3 tan lebihan makanan berjaya diselamatkan daripada pembaziran menerusi inisiatif Ihsan Food Bank sepanjang Ramadan 2026.
- Inisiatif Ihsan Food Bank memberi manfaat kepada golongan memerlukan di seluruh negara.
- Dijalankan di 119 bazar Ramadan dengan hampir 3,000 sukarelawan, mencerminkan komitmen bersepadu.
- Lebihan makanan elok dikumpul dan diserahkan kepada yang memerlukan, selaras tiga teras: santuni komuniti, sayangi alam, selamatkan makanan.
- Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan sedang dirangka untuk memperkasakan lagi inisiatif.
Program itu sekali gus memberi manfaat kepada golongan memerlukan di seluruh negara.
Inisiatif yang dilaksanakan di 119 bazar Ramadan itu digerakkan hampir 3,000 sukarelawan, mencerminkan komitmen bersepadu pelbagai pihak dalam menangani isu pembaziran makanan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kejayaan tersebut membuktikan pendekatan bersepadu mampu memberi impak besar kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Lebihan makanan yang masih elok tetapi tidak habis dijual akan dikumpulkan bersama sukarelawan dan diserahkan kepada golongan memerlukan. Ini bertepatan dengan tiga teras utama iaitu santuni komuniti, sayangi alam dan selamatkan makanan,” katanya.
Beliau ditemui media pada Program i-FB Santuni Komuniti @ Dapur Kita-Kita bersama KPDN, di sini.
Menurutnya, inisiatif itu turut diperluas dengan penglibatan syarikat makanan sejuk beku halal.
Dalam program berkenaan, sebanyak 200 pek makanan diagihkan kepada golongan sasar sebagai usaha meringankan beban mereka.
Tambah Datuk Armizan, Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan sedang dirangka bagi memperkasakan lagi insiatif tersebut ke tahap lebih tinggi.