MUKAH, 5 Julai - Empat maut, enam lagi masih hilang selepas sebuah bot jenis fiber yang membawa 17 penumpang karam berhampiran di perairan Pantai Belawai dekat Kampung Belawai di sini, hari ini.
Empat mangsa yang disahkan maut terdiri daripada dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Alimaddia Bukri berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika bot berkenaan dalam perjalanan dari Jeti Belawai ke Jeti Zon Pelita.
“Bot tersebut membawa penumpang yang sebahagian besarnya warga Indonesia dan seorang warga tempatan dipercayai karam sebelum tiba di jeti berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita RTM hari ini.
Terdahulu bomba menerusi kenyataan berkata, tujuh mangsa berjaya diselamatkan terdiri daripada empat lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Manakala, enam lagi mangsa masih belum ditemukan teridir daripada lima lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut diperluas sehingga kawasan seluas tiga kilometer persegi dengan pencarian tertumpu di permukaan air.
Beliau turut memaklumkan kemungkinan bot berkenaan membawa muatan melebihi kapasiti.
Operasi SAR dihentikan petang ini dan akan disambung semula awal pagi esok.