RIO DE JANEIRO, 5 Julai - Perdana Menteri tiba di sini pada Sabtu bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Brazil.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak BRICS, lawatan tersebut turut dibuat bagi memenuhi jemputan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Pesawat membawa Perdana Menteri mendarat di Pangkalan Tentera Udara Galeão pada pukul 5.41 pagi waktu tempatan (4.41 petang waktu Malaysia), selepas penerbangan selama 12 jam dari Paris, lokasi lawatan rasmi dua harinya sebelum ini.
Turut bersama pada lawatan tersebut adalah beberapa menteri kabinet iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Penyertaan ke Sidang Kemuncak BRICS menjadi antara agenda utama lawatan tersebut dan ia dilaksanakan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan negara rakan BRICS.
Pada sidang tersebut, Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara.
Beberapa pertemuan strategik turut diatur sepanjang berada di Brazil, termasuk mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan dari Negara-Negara Anggota dan Negara-Negara Rakan BRICS.
Selain itu, turut dianjurkan sesi perbincangan dengan pemain industri tempatan.
Perdana Menteri kini dalam misi lawatan tiga negara yang bermula 1 Julai lalu dan Brazil merupakan negara terakhir dikunjungi beliau selepas Itali dan Perancis.