BINTULU, 15 November - Sebuah gudang menyimpan bahan kimia jenis Silicon Hydride (silane) dan Silica musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di sebuah kilang di Jalan Coastal Bintulu–Miri, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.55 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju digerakkan ke lokasi, dibantu BBP Kidurong.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati gudang berkenaan menempatkan bahan kimia mudah terbakar dan berisiko tinggi, termasuk Silicon Hydride yang boleh meletup jika bertindak balas dengan air.
"Bagi mengelakkan reaksi berbahaya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan teknik semburan halus, selain penyejukan dan pengawalan berterusan bagi menghalang api merebak ke gudang sisa kayu yang hanya 10 meter dari lokasi," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Struktur gudang turut dilaporkan runtuh akibat bahang api yang kuat, dan pemantauan rapi masih diteruskan sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.