ALOR SETAR, 1 Mei - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telus menerima sebarang kritikan dan aduan daripada semua pihak bagi memastikan perkhidmatan hospitaliti dan kemasyarakatan berada pada tahap terbaik.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata pelbagai program dan majlis disediakan kepada pengunjung sempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau mengulas kritikan seorang pempengaruh media sosial yang mengkritik bahawa Kedah tiada tempat menarik untuk dikunjungi pelancong luar.
"Saya jemput saudari datang, saya akan bawa dia ke mana-mana tempat. Kita tengok dekat situ apa ada kat Alor Setar. Tetapi saya ucap terima kasih kat dia," katanya selepas melancarkan konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi RIDE To Tibet besempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Alor Setar.
Konvoi selama 40 hari itu akan melibatkan perjalanan sejauh 13,800 kilometer menjelajah tiga negara iaitu Thailand, Laos dan Tibet, China.
Tular sebelum ini, seorang pemilik akaun di Tik Tok menyatakan tiada lokasi yang menarik untuk dikunjungi di Kedah sebaliknya disarankan untuk ke Pulau Pinang.