KUALA LUMPUR, 1 Mei - Suasana penuh semangat dan keterujaan menyelubungi Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini apabila lebih 10,000 warga kerja dari pelbagai sektor hadir memeriahkan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025.
Pelbagai reaksi positif diterima daripada para peserta yang menyifatkan sambutan kali ini lebih meriah dan bermakna.
Menurut kakitangan SWCorp Malaysia, Nooraini Md Akhir beliau teruja melihat kehadiran pelbagai lapisan pekerja.
“Mestilah teruja, sebab bukan kita semata-mata tetapi pelbagai sektor sama ada awam, swasta, atau badan berkanun turut serta. Tadi kita dengar pengumuman kehadiran sudah cecah 10,000 orang.”
Manakala, Mohd Shairazi Yahya, salah seorang kakitangan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia berkata, sambutan ini menjadi simbol penghargaan buat para pekerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
“Kita di sini atas jemputan untuk meraikan Hari Pekerja 2025. Saya rasa sangat bangga dan dihargai kerana hari ini meraikan kita sebagai tenaga pekerja.”
Sementara itu, Mohd Ezab Ab Halim dari Samsung Elektronik Malaysia pula menyifatkan sambutan tahun ini sebagai yang paling meriah berbanding sebelum ini.
“Tahun ni sangat meriah. Sebelum ni hanya sekitar 3,000 peserta, kali ni 10,000. Ucapan Perdana Menteri pun mantap. Harap lepas ni boleh buat lagi yang lebih baik.”
Bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”, sambutan tahun ini bukan sahaja menzahirkan penghargaan kepada para pekerja, malah memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang bekerja keras demi kemajuan negara.