KOTA KINABALU, 23 Mei – Kerajaan tidak pernah memansuhkan subsidi gas petroleum cecair (LPG) seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan dakwaan itu adalah bermotifkan politik dan bertujuan mengelirukan rakyat.
"Kenyataan yang dibuat itu bermotifkan politik dan cuba mengelirukan rakyat.
"Kita tahu bahawa penguatkuasaan KPDN ini adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Ia sebenarnya bukan dasar baharu, bukan peraturan baharu. Tidak sesekali kita memansuhkan subsidi", katanya ketika ditemui media di sini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Junz Wong mengenai isu berhubung kawalan bekalan gas LPG baru-baru ini.
Datuk Armizan menjelaskan bahawa mana-mana peniaga yang menggunakan lebih daripada tiga tong LPG 14-kilogram pada satu masa diwajibkan memohon permit barang kawalan, seperti yang telah ditetapkan di bawah Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
Tambahnya, subsidi LPG masih disalurkan oleh kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan pengguna domestik, selaras dengan tujuan asal program subsidi tersebut.
Mengenai notis yang dirujuk dalam dakwaan, beliau menjelaskan ia hanyalah kenyataan pemeriksaan premis, iaitu prosedur standard KPDN dalam pemeriksaan berkala termasuk semakan tanda harga, alat timbang dan pematuhan permit.