fb fb fb fb fb

Galeri ‘Teroka’ sorot sejarah buku negara di PBAKL 2025

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) menampilkan kelainan menerusi pengenalan Galeri Khas Teroka / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) membuka tirainya hari ini dengan menampilkan satu kelainan istimewa menerusi pengenalan Galeri Khas Teroka, sebuah ruang pameran yang menghimpunkan sejarah, seni dan keagungan dunia perbukuan tanah air.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata galeri tersebut merupakan satu penghormatan kepada warisan penulisan negara, memaparkan koleksi karya-karya ikonik daripada penulis tempatan merangkumi zaman klasik hingga kontemporari.

“'Teroka' ini membolehkan pengunjung melihat sendiri bagaimana sejarah perbukuan negara bermula. Terdapat juga artifak buku lama yang dipamer dan boleh ditelusuri bersama.

"Tahun ini sambutan luar biasa, sebanyak 1,172 reruai telah ditempah dan kami terpaksa menambah satu pavilion khas di tingkat empat, selain menempatkan marquee tent serta membuka keseluruhan ruang di Pusat Dagangan Dunia (WTC) kepada para pempamer,” katanya selepas Majlis Pembukaan Tirai PBAKL 2025, di sini.

Lebih istimewa, sempena Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, PBAKL 2025 turut menampilkan segmen khas yang memfokuskan kerjasama serantau dalam industri buku.

Segala aktiviti perbincangan dan pembentangan berkaitan kerjasama perbukuan ASEAN dijalankan di pentas utama sepanjang acara berlangsung.

Program tahunan itu berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun, dengan penganjuran terbesar dalam sejarahnya setakat ini, melibatkan 258 pempamer termasuk 28 pempamer antarabangsa dari ASEAN, Iran, United Kingdom (UK) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dengan tema “Buku: Membaca, Memimpin”, PBAKL 2025 mengangkat komitmen terhadap pembudayaan ilmu dan pembentukan kepimpinan melalui literasi, sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah masyarakat berpengetahuan dan berbudaya membaca tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN