BINTULU, 9 November - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa bot karam di perairan Tanjung Payung, di sini diteruskan hari ini.
Setakat hari keempat, kedua-dua mangsa warga tempatan yang hilang masih belum ditemukan.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi hari ini melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dengan bantuan pasukan dari Balai Batu Niah.
Pasukan penyelamat mula beroperasi seawal pukul 8 pagi, menelusuri kawasan sekitar rumah api Tanjung Payung hingga ke Kuala Suai dan Kuala Nyalau, meliputi jarak pencarian sejauh lebih tiga kilometer di perairan dan 1.5 kilometer di pesisir pantai.
Walau bagaimanapun, sehingga pukul empat petang, tiada sebarang penemuan baharu dilaporkan.
Pihak bomba memaklumkan operasi akan disambung semula esok dengan tumpuan kepada operasi selaman di lokasi bot karam, melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bintulu dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Jender Baem, 65 tahun dan anaknya, Petrus Andrew Jender, 33 tahun.
Operasi SAR melibatkan tujuh anggota bomba dengan kekuatan satu kenderaan pacuan empat roda dan satu bot aluminium.