fb fb fb fb fb

Anak asnaf cemerlang SPM, STPM 2024, dirai

Inspirasi untuk terus kecapi kejayaan / Foto RTM

LABUAN, 9 November - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan meraikan 60 anak asnaf dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan MADANI 2025.

Kesemua penerima merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Bagi kategori SPM, 38 penerima dengan keputusan 4A hingga 9A terdiri daripada penerima Bantuan Am Persekolahan (BAP) MAIWP, pelajar Sekolah Menengah Agama MAIWP dan penghuni Kompleks Darul Kifayah. 

Manakala untuk kategori STPM melibatkan 17 pelajar cemerlang dengan keputusan PNGK 3.00 hingga 3.84 yang merupakan penerima BAP MAIWP.

Kesemua mereka menerima sijil penghargaan, wang tunai bernilai RM250 hingga RM300 serta Insentif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bernilai RM1,500 hingga RM2,000.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah St. Anne yang merupakan penghuni Kompleks Darul Kifayah MAIWP, Vaa Trisha Jaffri menerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2024.

Dalam majlis sama, 28 huffaz di Wilayah Persekutuan Labuan turut menerima Insentif Galakan Hafazan MAIWP bagi tahun 2025 bernilai RM57,800.

Turut berlangsung penyerahan cek cura bagi nilai keseluruhan Insentif SSPN Prime Pelajar Cemerlang bernilai RM146,500, cek cura Insentif Galakan Hafaz Al-Quran 2025 dan Bantuan Komputer Riba MAIWP bernilai RM252,714 yang diluluskan kepada 77 mahasiswa Labuan.

Majlis disempurnakan Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Ag Marten Abd Rahman.

FAUZIAH ABD RAHMAN