fb fb fb fb fb

Polis sahkan penemuan tiga lagi mayat warga Rohingya di Langkawi

Foto Maritim Malaysia

LANGKAWI, 9 November -Tiga lagi mayat warga Rohingya ditemukan terapung di sekitar perairan Langkawi, Kedah, petang tadi menjadikan jumlah keseluruhan empat mayat setakat ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nurudin berkata, mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak.

Katanya, 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita etnik Rohingya serta dua lelaki Bangladesh telah ditahan setakat pukul 7.00 petang tadi.

"Tiga lelaki Rohingya dan seorang lelaki Bangladesh ditahan di Jeti Harbour Park, pada pukul 12.30 pagi tadi. Dua lelaki Rohingya pula ditahan di perairan Teriang pada pukul 3.45 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, sebuah bot dipercayai membawa hampir 100 PATI pelbagai warganegara karam berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand dengan penahanan enam pendatang asing dan satu mayat wanita Rohingya ditemukan di persisiran Pantai Teluk Cincin, di sini.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mencari dan menyelamat di laut sekitar perairan Langkawi.

TETITIA YUSOFF